Friday, August 20, 2010

Se Gelas Susu

Suatu hari, seorang budak lelaki yang miskin berjualan barangan dari rumah ke rumah bagi menampung perbelanjaan persekolahannya. Sehingga dia sampai ke rumah yang terakhir, dia merasa begitu dahaga sekali. Setelah pintu diketuk, keluarlah seorang gadis yang comel yang hampir sebaya dengannya. Apabila dia meminta ihsan segelas air dari gadis tersebut, gadis itu lalu masuk kembali ke dalam rumah dan membawa segelas besar susu.

Kerana kedahagaan yang teramat sangat, susu itu habis diminumnya. Sambil menghulurkan kembali gelas kepada gadis tersebut, budak itu bertanya, ".. berapakah harga segelas susu yang sangat enak ini?"

"Kamu tidak perlu membayar apa-apa," jawab gadis itu. "Emak telah berpesan, tidak perlu menerima apa-apa bayaran demi kerana keikhlasan."

"Saya berterima kasih kerana keikhlasan mu." Jawab budak itu. Ketika budak itu, Howard Kelly meninggalkan rumah tersebut, dia mendapat kekuatan dalam dirinya untuk berjaya di dalam kehidupannya!

Beberapa tahun kemudian, gadis tersebut mengalami penyakit yang sukar untuk diubati. Doktor telah memindahkannya ke hospital di bandar untuk rawatan pakar. Dr. Howard Kelly telah dipanggil untuk mengesan penyakit wanita tersebut. Bila Dr. Howard Kelly memasuki bilik wanita itu, kenangan seorang gadis comel dengan segelas susu terpancar diingatannya.

Beliau memberikan rawatan yang sebaik mungkin untuk wanita tersebut. Beliau menggunakan segala kepakaran dan kemudahan yang ada untuk memastikan wanita itu sembuh dari panyakitnya. Hasilnya, wanita tersebut kembali sihat dan dibenarkan keluar dari hospital.

Ketika sedang berkemas untuk meninggalkan hospital, wanita tersebut telah dihulurkan dengan bil rawatan yang perlu dibayarnya oleh seorang pekerja hospital. Wanita tersebut gementar untuk membukanya, kerana andaiannya dia terpaksa menghabiskan tempoh hayatnya untuk membayar bil rawatan.

Ketika dibuka, matanya terpandang pada sepotong ayat .......

"Telah dibayar dengan segelas susu"

..................................
(Dr. Howard Kelly)

1 comments:

Cik Lily Putih said...

sukerlah citer nie.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...