Sunday, August 22, 2010

Bersyukurlah

Dua orang perempuan sedang berdiri menunggu teksi di sebuah tempat menunggu teksi di depan sebuah kedai runcit. Mereka seronok bercerita dari satu tajuk ke satu tajuk sehinggalah kepada tajuk tentang kenakalan anak-anak mereka.

"Anak-anak sekarang memang nakal, tidak makan nasihat langsung." Kata salah seorang perempuan tersebut. "Semalam bila aku balik dari kerja, rumah aku macam dilanggar garuda, bersepah-sepah dengan kain baju, buku-buku dan alat permainan merata tempat." Sambungnya lagi.

"Aku pun serupa." Sampuk seorang perempuan lagi. "Anak lelaki aku menconteng dinding dapur dengan pensil dan anak perempuan aku pula menumpahkan dakwat di atas permaidani, separuh mati aku membersihkannya."

"Sepatutnya kamu bersyukur, kerana masih dikurniakan dengan anak." Tiba-tiba seorang perempuan separuh umur muncul di belakang mereka. "Saya sangat merindui apabila balik dari kerja, rumah aku bersepah-sepah dengan kain baju yang busuk, pinggan-mangkuk dan cawan terdapat di merata tempat. Permaidani penuh dengan tumpahan susu ataupun pasu bunga pecah di halaman rumah terkena bola."

"Kamu tahu, dulu saya mempunyai dua orang anak namun kedua-duanya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Kini saya tinggal berdua bersama suami saya. Rumah saya sentiasa bersih, tiada cap jari di dinding, tiada bunyi pergaduhan, tiada bunyi hempasan pintu, tiada hilai tawa dan tiada ucapan "I love you, mom".

"Bersyukurlah dengan apa yang anda ada. Tangisan mereka, aduan mereka, impian mereka, renget mereka dan ketawa mereka adalah hiburan yang paling merdu yang ada di dunia ini."

"Bila kamu balik nanti dan rumah kamu bersepah-sepah, bersyukurlah kerana kamu masih lagi mempunyai anak....!!"

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...