Saturday, September 27, 2008

Dugaan

Suatu hari, ketika di suatu tempat, telah berkesempatan berbual dengan seseorang yang baru dikenali. Banyak perkara yang dibualkan. Dan agak tertarik apabila beliau menceritakan sesuatu, yang agak menarik untuk dijadikan teladan atau perlu difikirkan. Saya cuba perturunkan cerita tersebut dengan perkataan saya sendiri tanpa mengubah maksudnya.

'Dulu saya jahat, mungkin juga nakal. Tetapi jahat saya tidaklah sampai mencuri ataupun menghisap dadah (tak perlulah diceritakan jenis kejahatan yang telah dilakukannya). Kehidupan saya tidak sukar, saya seronok tetapi tidak gembira. Apa yang saya hajatkan biasanya saya dapat (saya dapatkan dengan berbagai cara; cara betul mahupun salah).

Dipendekkan cerita, akhirnya saya bertaubat. Saya menjadi seorang yang baik, mungkin dengan doa isteri yang penyayang dan sangat sabar. Saya buangkan semua tabiat lama, saya menjadi manusia yang baru biarpun ada rakan-rakan yang meraguinya.

Terima kasih kepada Allah S.W.T. yang telah membimbing dan menunjukkan jalan yang lurus kepada saya. Terima kasih juga kepada isteri yang sangat sabar dan senantiasa berdoa mengharapkan perubahan kepada diri saya.

Tetapi begitulah, apabila saya telah menjadi 'begini', terlalu banyak rintangan dan dugaan yang terpaksa saya alami. Kadangkala saya rasa sangat kecewa, tetapi nasihat seorang rakan mengubat kekecewaan ini. Katanya, dugaan itu adalah dari Allah S.W.T untuk menguji makhlukNya. Ujian itu tandanya Allah S.W.T. menyayangi diri kita.

Nasihat saya untuk abang pula, bersedialah dengan ujian dan dugaan Allah S.W.T. seandainya abang juga ingin menjadi seorang insan yang baik. Dan, bersabarlah dengan dugaan tersebut.'

Begitulah beliau mengakhiri perbualannya sebelum beliau bergegas untuk berangkat menunaikan Umrah...!

Friday, September 26, 2008

Sekadar renungan

Semalam terjumpa sebuah buku catatan lama. Ketika menyelak satu persatu muka surat buku catatan tersebut, terbaca beberapa catatan yang boleh rasanya di kongsi bersama. Mudah-mudahan ianya menjadi perangsang ataupun pengubat pada diri kita.


' Don't worry over what other people are thinking about you. They are busy worrying over what you are thingking about them'


'Life is very interesting, if you make mistakes'


'If you can dream it, you can do it'

Saturday, September 20, 2008

Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadat. Terlalu banyak rahsia yang tersirat di dalamnya. Alangkah indah sekiranya kita penuhkan sepanjang bulan ini dengan bersolat sunat, bersedekah, beramal ibadat, berzikir dan sebagainya.

Tetapi, malangnya kita telah menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk berpesta makanan. Pasar-pasar Ramadhan diwujudkan untuk menjual berbagai juadah. Rancangan TV dipenuhi dengan program-program masakan. Dan , di mana-mana diadakan majlis berbuka puasa secara tidak berhemah kerana banyak pembaziran berlaku.

Bilakah masanya Si Penjual di pasar-pasar Ramadhan untuk beramal ibadat seandainya dari awal pagi telah sibuk untuk menyediakan juadah jualan. Dan sehingga selepas berbuka belum pasti selesai berkemas dari pasar Ramadhan. Malamnya sudah pasti keletihan, memaksa mereka untuk berehat awal di atas katil.

Dan, lebih malang kerana pasar-pasar Ramadhan telah dijadikan satu pesta tahunan untuk menarik pelancong asing datang ke negara kita.

"Mungkinkah kisah Yahudi dengan larangan menangkap ikan ada persamaan dengan membanyakkan amalan di bulan Ramadhan ini?" (Atau Allah sengaja menduga kita dengan rezeki yang murah di bulan Ramadhan?)

Dengan hanya tinggal sepuluh hari lagi kita berpuasa ini, jangan lepaskan peluang untuk kita memperbanyakkan amal ibadat. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam golongan orang-orang yang beruntung...!

Selamat Kembali

Alhamdullilah...........

Sekian lama tidak menulis, dan hilang segala maklumat, tetapi akhirnya ketemu kembali maka akan menggunakan segala kesempatan ini untuk menulis kembali. Mudah-mudahan ianya akan menjadi satu cara untuk meluahkan segala yang terpendam, atau mungkin juga untuk melepaskan segala 'stress', ataupun setidak-tidaknya untuk mengisi kekosongan; semuanya mungkin.

Tertarik melihat berita tengah hari dua hari lepas di TV3. Kisahnya tentang sebuah keluarga yang kurang berada untuk menghadapi hari raya yang bakal menjelang. Apabila di temuramah ketua keluarganya iaitu Si Ayah, beliau menangis kerana kesal kegagalan beliau untuk menyediakan keperluan keluarga. Dan, apabila di tanya kepada Si Ibu, beliau tenang dan redha di atas segala yang telah ditentukan.

Apabila di tanya pula kepada Si Anak; beliau dengan malu-malu tetapi gembira menyatakan sangat gembira kerana baju rayanya sudah ada untuk menyambut hari raya yang bakal menjelang.

Dan, hari tersentuh apabila di tanya siapa yang membelikan baju raya tersebut; dengan cepat Si Anak menjawab "CIKGU!"

Moralnya; guru adalah segala-galanya.......!
"Terima kasih, cikgu.....!!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...