Saturday, May 17, 2008

Kesetiaan

Petang semalam, ke hospital menemankan isteri melawat datuk saudaranya yang sakit. Di dalam wad yang memuatkan enam orang pesakit itu penuh dengan pesakit yang rata-ratanya adalah sudah berusia dalam lingkungan 60an. Dua darinya berbangsa India, seorang Cina dan tiga orang Melayu.

Tidak ada pelawat untuk pesakit-pesakit ini kecuali datuk saudara isteri saya. Apa yang menarik perhatian saya ialah; semua pesakit ini ditemani oleh isterinya. Salah seorang isteri pesakit berbangsa India sedang menyuapkan makanan kepada suaminya yang agak sukar untuk mengangkat tangan. Dan, yang seorang lagi sedang melayan suaminya berbual.

Isteri pesakit yang berbangsa Cina pula mengurut belakang badan suaminya yang mungkin lenguh kerana terlalu lama terbaring. Manakala isteri salah seorang pesakit melayu tertidur sambil duduk di atas kerusi dan kepalanya tersembam di atas tilam; tangannya menggengam erat tangan suaminya.

Sambil orang rumah datuk saudara isteri saya sibuk melayan kami berbual, isteri pesakit di sebelah pula sibuk menyiapkan susu untuk suaminya.

Apa yang bermain di kepala saya ialah; seandainya saya suatu hari nanti terlantar di katil hospital, apakah nasib saya sama seperti pesakit-pesakit yang telah saya lihat ini.

Apakah nilai dan kesetiaan cinta pasangan dahulu sama dengan nilai dan kesetiaan cinta sekarang?

Entahlah…….

Thursday, May 15, 2008

Renungan

Dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini, terlihat satu kemalangan jalan raya; sebuah motosikal dengan sebuah traler. Seorang perempuan terbaring di bawah lori.

Di tempat kerja, ia menjadi berita utama. Baru tahu, perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian, dan suaminya cedera ringan. Cucu mereka, mendapat rawatan kecemasan.

Menjelang tengah hari, berita kemalangan hilang dari menjadi topik utama.

Setiap hari, atau mungkin seminggu sekali kita mendengar cerita tentang kematian; sahabat kita, saudara kita, kenalan kita atau mungkin jiran tetangga kita. Tetapi kita sering terlupa bahawa kita juga akan mengikut jejak langkah mereka.

Tidak perlu kita tanya persediaan kita untuk menghadapi kematian. Yang perlu kita tanya ialah, bila kita akan mati. Kita masih leka mengumpat dan mengata; kita masih leka mengumpul dosa. Apa cerita kenalan kita bila mereka mengetahui tentang kematian kita; cerita buruk kita atau cerita baik kita.

Walaupun apa cerita mereka; mereka akan melupakan kita hanya beberapa hari selepas kematian kita. Isteri atau suami kita mungkin akan berkahwin lain. Anak-anak sibuk dengan urusan mereka; kalau adapun setahun sekali menziarahi pusara kita.

Jadi; dunia ini bukan milik kita. Gah manapun nama kita, besar manapun pangkat kita; kita adalah ‘nobody’.

Hari ini, mulalah langkah kita untuk menjadi diri kita sebenarnya: hidup hanya sementara; tidak perlu kita menjadi ustaz untuk beramal; tidak perlu menjadi ulama untuk beriman; tidak perlu menjadi lebai untuk berbuat baik; langkah pertama kita ialah: jadilah orang yang BAIK; kepada diri kita sendiri, keluarga kita, jiran tetangga kita, masyarakat, haiwan dan tumbuhan: atau kita ringkaskan sahaja - buatlah baik dengan semua makhluk Allah..!!

Tuesday, May 13, 2008

Terima kasih

Terima kasih kerana anda telah 'tersesat' ke sini. Selamat datang dan selamat untuk anda.

Banyak perkara yang berlaku ke atas diri kita sebenarnya, tidak kita jangkakan. Ia berlaku tanpa kita duga. Ada perkara yang berlaku sememangnya kita nanti-nantikan, dan ada perkara yang berlaku sebenarnya memang kita ingin hindari.

Apa yang penting adalah, kita mesti hadapinya. Sama ada kita suka mahupun kita tidak suka, kita terpaksa hadapinya dan seandainya perkara itu menggembirakan, kita syukurinya: dan seandainya perkara itu menghampakan: tabah kita harunginya.

Yang paling penting, kehidupan harus kita teruskan.

Sekian. Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...