Thursday, May 15, 2008

Renungan

Dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini, terlihat satu kemalangan jalan raya; sebuah motosikal dengan sebuah traler. Seorang perempuan terbaring di bawah lori.

Di tempat kerja, ia menjadi berita utama. Baru tahu, perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian, dan suaminya cedera ringan. Cucu mereka, mendapat rawatan kecemasan.

Menjelang tengah hari, berita kemalangan hilang dari menjadi topik utama.

Setiap hari, atau mungkin seminggu sekali kita mendengar cerita tentang kematian; sahabat kita, saudara kita, kenalan kita atau mungkin jiran tetangga kita. Tetapi kita sering terlupa bahawa kita juga akan mengikut jejak langkah mereka.

Tidak perlu kita tanya persediaan kita untuk menghadapi kematian. Yang perlu kita tanya ialah, bila kita akan mati. Kita masih leka mengumpat dan mengata; kita masih leka mengumpul dosa. Apa cerita kenalan kita bila mereka mengetahui tentang kematian kita; cerita buruk kita atau cerita baik kita.

Walaupun apa cerita mereka; mereka akan melupakan kita hanya beberapa hari selepas kematian kita. Isteri atau suami kita mungkin akan berkahwin lain. Anak-anak sibuk dengan urusan mereka; kalau adapun setahun sekali menziarahi pusara kita.

Jadi; dunia ini bukan milik kita. Gah manapun nama kita, besar manapun pangkat kita; kita adalah ‘nobody’.

Hari ini, mulalah langkah kita untuk menjadi diri kita sebenarnya: hidup hanya sementara; tidak perlu kita menjadi ustaz untuk beramal; tidak perlu menjadi ulama untuk beriman; tidak perlu menjadi lebai untuk berbuat baik; langkah pertama kita ialah: jadilah orang yang BAIK; kepada diri kita sendiri, keluarga kita, jiran tetangga kita, masyarakat, haiwan dan tumbuhan: atau kita ringkaskan sahaja - buatlah baik dengan semua makhluk Allah..!!

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...