Thursday, August 19, 2010

Sebuah Tingkap Hospital

Dua orang lelaki, yang terlantar tenat di tempatkan di sebuah bilik hospital. Seorang daripada mereka akan dibangunkan dari tempat tidurnya selama sejam setiap petang untuk pengaliran darah. Seorang lagi terpaksa terlantar dikatilnya sepanjang masa.

Setiap petang, lelaki yang dibangunkan dari tempat tidurnya akan menceritakan kepada sahabatnya segala apa yang dilihatnya melalui tingkap hospital. Sahabatnya hanya dapat membayangkan apa yang diceritakan oleh lelaki di tepi tingkap kerana kesihatannya tidak mengizinkannya untuk sama-sama melihat melalui tingkap hospital.

"....sungguh cantik pemandangan melalui tingkap ini. Ada tasik yang jernih airnya dengan angsa-angsa berenang dengan gembira. Pemancing tidak lepas dari mendapat ikan yang banyak. Dan lihat di sana, sepasang kekasih sedang memadu asmara di bawah pohon yang rendang!......"

Di suatu subuh yang hening, lelaki yang duduk di tepi tingkap didapati telah meninggal dunia ketika jururawat ingin memandikannya.

Petang itu, lelaki yang terlantar tidak dapat lagi mendengar cerita keindahan pemandangan melalui tepi tingkap. Dengan berat hati beliau berkata kepada jururawat yang hadir pada senja itu, "...izinkan aku diangkat untuk melihat melalui tingkap walaupun untuk sesaat, kerana aku terlalu rindu ingin melihat keindahan melaluinya...!"

Dengan berhati-hati, jururawat menarik katil pesakit tersebut ke tepi tingkap. Dengan kepayahan, beliau cuba melemparkan pandangan melalui tingkap. Hanya tembok kosong sahaja yang kelihatan, tidak ada tasik, tidak ada angsa, tidak ada pemancing dan tidak ada sepasang kekasih memadu asmara!

Dengan kehairanan lelaki tersebut bertanya kepada jururawat, ".... mana tasik yang sering disebutkan oleh sahabat saya yang meninggal itu?..."

"......... sebenarnya tidak ada tasik di luar sana. Tidak ada angsa, tidak ada pemancing dan tidak ada kekasih memadu asmara. Lagipun pesakit yang meninggal dunia pagi tadi sebenarnya buta. Dia tidak boleh melihat walaupun cahaya putih...!" jawab jururawat.

(Wujudkan insan sebegitu hari ini, yang sanggup menggembirakan sahabatnya walaupun sebenarnya dia tidak bahagia?)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...