Thursday, October 2, 2008

Selamat Hari Raya AidilFitri

Perkataan 'MAAF' hanya ada empat huruf sahaja. Mudah untuk di sebut. Kita menyebutkannya apabila kita telah melakukan kesalahan ataupun kita 'akan' melakukan kesalahan.

Apabila kita telah melakukan kesilapan, ataupun kita terasa telah menyinggung hati seseorang, kita akan mengucapkan perkataan maaf. Kadang-kadang kita melafazkan maaf apabila kita hendak berkata-kata dengan seseorang dan perkataan itu nanti dirasakan akan menyinggung perasaaannya (walhal kita perlu memperkatakannya), kita selalunya memohon maaf terlebih dahulu.

Perkataan lain yang seerti dengan perkataan maaf ialah ampun dan sorry. Kita jarang menggunakan perkataan ampun kecuali di dalam majlis rasmi. Dan, di dalam kehidupan seharian kita sering menggunakan perkaraan sorry. Mungkin kerana ia lebih mudah dan ringkas.

Apakah memaafkan kesalahan seseorang itu semudah mengucapkan kata maaf tersebut? Dan, ikhlaskah kita memaafkan kesalahan seseorang itu hanya dengan mengangguk sambil tersenyum?

Hakikatnya, kita mungkin boleh memaafkan seseorang. Dan kita mungkin ikhlas untuk memaafkannya. Tetapi, mungkinkah kita boleh memadamkan peristiwa tersebut dari ingatan kita?

Apapun, yang penting kita harus mengambil ingatan bahawa setiap perkara yang kita ingin lakukan, kita harus fikir dari berbagai sudut; buruk dan baiknya. Keputusan yang akan kita lakukan harus dari hati yang bersih, bukan dari dendam mahupun iri hati.

Orang-orang tua sering mengingatkan; terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya; ikut hati mati, ikut rasa binasa; luka yang sembuh, parutnya masih tetap ada.

Mengambil kesempatan di AidilFitri yang mulia ini, tanamkan tekad untuk meminimakan setiap kesalahan (sebagai manusia kita tidak akan terlepas dari kesilapan; moga kesilapan yang kita lakukan bukanlah kesilapan yang paling "bodoh" pernah kita lakukan!). Dan, seperti kebiasaaannya, saya memohon kemaafan setiap kesilapan yang pernah saya lakukan. Juga, sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas dari melakukan kesilapan; harapan saya tegurlah dan nasihatilah di mana yang perlu. Saya sedia menerimanya...!

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin...!!

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...