Saturday, May 17, 2008

Kesetiaan

Petang semalam, ke hospital menemankan isteri melawat datuk saudaranya yang sakit. Di dalam wad yang memuatkan enam orang pesakit itu penuh dengan pesakit yang rata-ratanya adalah sudah berusia dalam lingkungan 60an. Dua darinya berbangsa India, seorang Cina dan tiga orang Melayu.

Tidak ada pelawat untuk pesakit-pesakit ini kecuali datuk saudara isteri saya. Apa yang menarik perhatian saya ialah; semua pesakit ini ditemani oleh isterinya. Salah seorang isteri pesakit berbangsa India sedang menyuapkan makanan kepada suaminya yang agak sukar untuk mengangkat tangan. Dan, yang seorang lagi sedang melayan suaminya berbual.

Isteri pesakit yang berbangsa Cina pula mengurut belakang badan suaminya yang mungkin lenguh kerana terlalu lama terbaring. Manakala isteri salah seorang pesakit melayu tertidur sambil duduk di atas kerusi dan kepalanya tersembam di atas tilam; tangannya menggengam erat tangan suaminya.

Sambil orang rumah datuk saudara isteri saya sibuk melayan kami berbual, isteri pesakit di sebelah pula sibuk menyiapkan susu untuk suaminya.

Apa yang bermain di kepala saya ialah; seandainya saya suatu hari nanti terlantar di katil hospital, apakah nasib saya sama seperti pesakit-pesakit yang telah saya lihat ini.

Apakah nilai dan kesetiaan cinta pasangan dahulu sama dengan nilai dan kesetiaan cinta sekarang?

Entahlah…….

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...